Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh kepada saudara Naim yang dikasihi,
Saudaraku Naim,
Apa khabar anda di bumi Jordan sana? Semoga saudara sentiasa berada di dalam keadaan sihat dan walafiat. Alhamdulillah, saya di Malaysia ini sihat-sihat sahaja. Meskipun telah berlalu pada saya satu keadaan yang getir yang menggoncangkan ketenangan jiwa ini, namun Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana telah mengeluarkan saya daripada penderitaan tersebut.
Sahabatku Naim yang dikasihi,
Tujuan saya menulis warkah elektronik ini adalah untuk memaklumkan kepada saudara tentang keputusan yang saya telah pilih berhubung dengan perpindahan saya ke bumi UIA. Seperti yang saudara telah maklum, saya telah diberikan pilihan oleh ibu bapa saya untuk menukar pengajian ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia selepas bumi Jordan dilanda wabak Covid 19 yang telah menyebabkan lapangan terbang tidak dibuka-buka. Sudah tentu perkara tersebut sangat merungsingkan saya kerana saya tidak boleh untuk melangsungkan pelajaran saya di sana sekiranya sesi pembelajaran dibuat di kuliah. Perkara tersebut juga akan menyebabkan tempoh pengajian saya terganggu dan akan menyebabkan kerugian pada saya dalam tempoh masa panjang. Disebabkan faktor di atas, saya telah dinasihatkan untuk memohon UIA agar masalah tersebut dapat diselesaikan dan saya dapat meneruskan pelajaran saya dengan aman di dalam negara.
Perkara di atas sudah tentu menimbulkan konflik pada diri saya. Saya telah diberikan pilihan sama ada memilih tempat impian saya iatu bumi Jordan ataupun memilih keselamatan dan jaminan dalam meneruskan pembelajaran. Saya beristikharah dan memohon petunjuk daripada Tuhan, kerana saya sedar meskipun saya mengetahui apa yang terbaik pada diri saya, namun pengetahuan saya terbatas pada tempoh masa dan faktor-faktor yang lain yang mungkin akan menyebabkan keputusan yang dibuat tidak tepat dan menepati jangkaan saya. Oleh itu meminta petunjuk daripada Tuhanlah satu-satunya jalan yang terbaik kerana dia maha mengetahui, pengetahuannya tidak terbatas pada peredaran zaman dan tidak juga terbatas pada pengetahuan yang zahir namun jahil pada perkara yang ghaib.
Alhamdulillah, setelah saya membuat istikharah maka sudah lapanglah jiwa saya, saya telah memilih untuk kekal meneruskan pelajaran di bumi Jordan, bumi syam yang barakah. Keputusan Kementerian Pelajaran Tinggi Jordan untuk memberikan pilihan kepada pelajar yang tersekat di luar negara untuk meneruskan pelajaran secara atas talian juga telah memudahkan proses membuat pilihan saya. Insyallah, saya akan menganggap segala konflik ini sebagai ujian daripada Allah untuk melihat kesungguhan saya dalam menempuhi cabaran menuntut ilmu.
Kesayanganku Naim,
Sudah tentu saudara kaget dan terkejut tentang kiriman warkah elektronik ini. Manakan tidak? siapa saja yang masih berutus warakah elektronik di zaman pasca aplikasi mesej kiriman ringkas. Namun sebenarnya ada sebab yang kukuh disebalik penulisan warkah elektronik ini.
Salah satu sebab mengapa saya menulis warkah ini adalah kerana tindakkan saudara yang selalu membirukan segala mesej yang saya hantar. Meskipun telah membaca mesej yang telah saya kirim, namun saudara telah memilih untuk menangguhkan pembalasan mesej yang saya telah tulis dengan mencurahkan seluruh jiwa dan pengharapan saya itu. Ketahuilah saudara, sekiranya saya ingin mesej saya dibalas lambat, lebih baik saya menulis surat yang akan menyebabkan kiriman saudara mengambil masa berhari-hari. Hampir-hampir saya menulis sepucuk surat kepada saudara untuk memberitahu saudara tentang khabar ini, namun setelah menyedari bahawa saya tidak mempunyai setem dan faktor kemalasan untuk membelinya, maka saya telah memilih untuk menulis warkah elektronik ini. Untuk pengetahuan saudara juga, saya juga ada menimbangkan kiriman mesej menggunakan isyarat asap. Namun apabila menyedari bahawa isyarat asap mungkin akan menyebabkan jerebu yang teruk, maka warkah elektroniklah pilihan yang terbaik setakat ini. Insyaallah sekiranya saya mempunyai duit, saya akan mengupah tukang hantar surat yang menunggang kuda untuk menghantar surat kepada saudara.
Akhir kalam, saya mendoakan saudara sentiasa berada di bawah taufiq dan hidayah Allah dan diberikan kesihatan olehnya, tidak lupa juga dipermudahkan segala urusan saudara. Saya juga ingin saudara mendoakan saya supaya sentiasa diberikan rahmat oleh Allah dan sentiasa berada di jalan Hidayahnya
Saudaramu sesama Islam,
Anwar Muhammad Bin Izzat
Haha mane aku punya
ReplyDeletex kuasa aku nk publish
Delete